suria

P'raya S'wak: Larry Sng Adalah Penyokong BN - kata Taib

KUCHING: Penyandang kerusi Pelagus yang tidak menganggotai mana-mana parti, Larry Sng, yang nasibnya dalam politik negeri ini masih terumbang-ambing, mungkin akan tahu dalam waktu terdekat ini sama ada akan dicalonkan semula pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu berkata, beliau yakin Sng, yang dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada 2007 kerana ingkar, merupakan penyokong setia Barisan Nasional (BN).

"Saya akan beritahu anda satu perkara mengenai Larry Sng, saya yakin (Larry) Sng penyokong penuh BN. Saya akan sentiasa ingat perkara ini dan saya bukan hanya mengingatinya (sebagai) satu sentimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, bersama-sama dengan para pemimpin BN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Komen Taib mengenai status menteri muda di Pejabat Ketua Menteri itu membayangkan yang beliau akan dinamakan sebagai calon BN berdasarkan kes sebelum ini membabitkan anggota Parlimen Mambong sekarang Datuk Dr James Dawos, yang kemudiannya memilih untuk menyertai PBB.

Pada pilihan raya negeri 2006, Sng, 33, bertanding atas tiket PRS, tetapi wujud pertikaian antaranya dengan Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing berikutan krisis kepimpinan dalam parti.

Mengulas isu yang sama, Dr Masing berkata semua sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada PRS dalam pilihan raya negeri kali ini akan hanya ditawarkan kepada anggota PRS, mengesahkan nama Sng tidak termasuk dalam senarai itu.

"Saya sudah memuktamadkan senarai (calon) dan ini akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan pengerusi BN pusat melalui pengerusi BN negeri (Taib)," katanya.

Beliau berkata, PRS, yang memenangi enam kerusi pada pilihan raya negeri lepas mungkin akan mencalonkan dua muka baru manakala bakinya ialah penyandang yang akan dikekalkan.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, semua 71 nama calon BN negeri akan diumumkan sebelum hari penamaan calon pada 6 April.

Artikel Berikut

Artikel Lain