suria

Polis Tembak Mati Lelaki Dipercayai Samun Pusat Snuker

JOHOR BAHARU: Polis menembak mati seorang lelaki dan menahan seorang rakannya, yang dipercayai baru menyamun sebuah pusat snuker yang terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Permas Jaya, di sini, Khamis.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai bersama lapan lagi rakan mereka yang masih bebas, menyamun pusat snuker berkenaan pada kira-kira pukul 5 pagi.

Beliau berkata kejadian bermula apabila seorang lelaki yang cedera di tangan datang ke balai polis memberitahu bahawa dia diserang oleh sekumpulan lelaki bertopeng di premis pusat berkenaan.

"Dua anggota polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian, dan sebaik tiba mereka diserang oleh 10 lelaki yang bersenjatakan parang sejurus selepas mereka memperkenalkan diri sebagai anggota pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Katanya dalam usaha mempertahan diri, anggota polis itu terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang menyebabkan seorang daripada kumpulan lelaki itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera di kaki.

Mohd Mokhtar berkata polis kemudian dapat menahan seorang daripada mereka, namun lelaki yang cedera di kaki itu berjaya melarikan diri bersama tujuh yang lain.

Katanya kumpulan 10 lelaki berusia sekitar 20an itu dipercayai baru menyamun juruwang serta pelanggan pusat berkenaan, dan melarikan pelbagai barang seperti seutas rantai dan dua telefon bimbit, serta wang tunai RM1,200.

"Tiga pelanggan mengalami kecederaan selepas ditetak oleh kumpulan lelaki itu, dan mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini," katanya dan menambah polis merampas lima parang serta tiga topeng yang dipercayai digunakan oleh penjenayah dalam kejadian itu.

Sementara itu Mohd Mohtar berkata polis percaya pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun kedai runcit di bandar raya selepas menahan dua lelaki berumur 21 dan 25 tahun di kawasan Tampoi, di sini pada 23 Mac lepas.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan hasil tindakan pantas pihak berkuasa, selepas polis menerima satu maklumat mengenai kejadian samun di sebuah kedai runcit di Taman Munshi Ibrahim, Tampoi. Beliau berkata polis turut merampas sebilah pedang samurai, lima parang, empat telefon bimbit, satu beg pinggang, wang tunai RM758 dan sebuah kereta Perodua Myvi dari kedua-dua lelaki itu.

Dalam perkembangan lain Mohd Mokhtar berkata polis berjaya menyelesaikan 29 kes curi pagar "stainless steel" di sekitar Kulaijaya, bandar raya Johor Baharu, Seri Alam dan Kota Tinggi selepas menahan lima lelaki di Kulaijaya, pada 20 Mac lepas.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 dan 53 tahun itu dipercayai terlibat dalam kes-kes kecurian pintu pagar di beberapa kediaman mewah.

Menurutnya susulan penahanan itu polis merampas sebuah lori, satu batang besi cangkuk yang digunakan untuk membuka pintu pagar dan potongan-potongan besi pagar di sebuah kedai barang lusuh di Saleng, Kulaijaya dan Kempas, di sini.

Salah seorang dari lelaki itu didapati mempunyai dua rekod kesalahan mencuri dan kedua-dua mereka kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain