suria

Pendakwaan Fail Rayuan Terhadap Pembebasan Anak Raja Petra

SHAH ALAM: Pembebasan anak kedua pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin daripada pertuduhan mencuri motosikal dan memecah masuk sebuah rumah tahun lalu, mungkin tidak kekal lama selepas pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Permohonan pihak pendakwaan disebut di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail.

Bagaimanapun, Raja Azman Raja Petra, 35, mahupun peguamnya tidak menghadiri prosiding kerana difahamkan gagal dikesan berdasarkan alamat lama yang diperoleh.

Justeru itu, Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menetapkan kes disebut sekali lagi pada 16 Mei depan.

Pada 23 September 2010, Mahkamah Majistret di sini, melepas dan membebaskan Raja Azman tanpa diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Raja Azman didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran BJQ9597 bernilai RM8,000 milik operator pengeluaran, Mohd Syaiful Setapa, 26.

Dia juga didakwa memecah masuk rumah Mohd Syaiful dan mencuri dompet yang berisi wang tunai RM20, cukai jalan, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dan lesen memandu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac 2009 di rumah nombor 65, Jalan Batas 2 19/6B, Seksyen 19, di sini.

Artikel Berikut

Artikel Lain