suria

Pembunuhan Banting: Peguam Dibicara Julai

SHAH ALAM: Seorang peguam, N. Pathmanabhan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Julai ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang dilaporkan hilang bersamanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan perbicaraan berjalan selama tiga bulan bermula 4 Julai hingga 30 September.

Pathmanabhan, 42, akan dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, iaitu T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang turut didakwa melakukan kesalahan sama.

Terdahulu, semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47: pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Ogos 2010 di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkam hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan semua mangsa hilang selepas bertolak ke Banting untuk berjumpa dengan seorang peguam bagi urusan jual beli tanah.

Semua mereka dipercayai telah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat dibuang di Sungai Panchau, Banting.

Pada prosiding Khamis, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani.

Barisan pembelaan pula dibarisi oleh peguam-peguam Manjeet Singh Dhilon, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad, Puspha Rathnam dan Datuk Ng See Teong.

Turut hadir ialah peguam A. S. Dhaliwal yang bertindak sebagai peguam pemerhati kepada dua pekerja ladang, K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, yang kini meringkuk di penjara selama 20 tahun atas kesalahan menghapuskan bukti pembunuhan kejam tersebut.

Sarawanan didakwa atas kesalahan membakar mayat manakala tuduhan terhadap Suresh melibatkan kesalahan membuang abu mayat.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki pada 21 Februari lalu selepas berpendapat hukuman tujuh tahun yang diberikan oleh Mahkamah Majistret Banting adalah tidak berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Majistret Hurman Hussein menjatuhkan hukuman itu pada 15 Oktober lalu selepas menerima pengakuan salah daripada kedua-dua tertuduh.

Artikel Berikut

Artikel Lain