suria

Melayu-Melanau Kekal Kubu Kuat BN - Penganalisis

MUKAH: Kawasan pilihan raya yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada komuniti Melayu-Melanau bakal terus kekal sebagai benteng Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak, memandangkan komuniti itu berkemungkinan memberi sokongan padu kepada gagasan berkenaan.

Pada masa ini, 26 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh PBB, selaku wadah politik utama komuniti itu.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Presiden PBB, dijangka tidak berdepan cabaran getir daripada lawannya untuk mengekalkan kerusi DUN Balingian di Mukah, satu daripada nadi komuniti Melanau.

PBB diperuntukkan 35 kerusi, 26 daripadanya adalah kerusi Melayu-Melanau manakala sembilan lagi adalah kerusi Dayak.

Menurut beberapa penganalisis politik, sebahagian besar daripada pengundi Melayu-Melanau mendapati tiada sebab untuk beralih kepada parti politik lain memandangkan mereka berpuas hati dengan kemajuan dan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan mereka.

Satu lagi faktor yang turut menyenangkan hati ialah tokoh daripada komuniti mereka menjadi Ketua Menteri, walaupun membentuk hanya 27 peratus daripada penduduk Sarawak yang berjumlah 2.4 juta.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir menggambarkan situasi itu sebagai 'faktor minoriti" yang bukan hanya membantu menyatukan mereka daripada segi politik tetapi juga kepuasan bahawa kerajaan negeri yang memerintah sekarang dapat memenuhi keperluan mereka.

"Mereka secara dasarnya gembira dengan apa yang telah dilaksanakan di kawasan mereka. Komuniti Melanau memiliki sentimen yang kuat terhadap Taib selaku pemimpin.

"Rakyat tahu ini merupakan penggal terakhir beliau memegang jawatan dan mereka mahu menunjukkan sokongan padu mereka kepada beliau," katanya.

Taib, yang genap 30 tahun memegang jawatan Ketua Menteri pada Sabtu lepas, sebelum ini mengumumkan bahawa pilihan raya negeri akan datang merupakan yang terakhir diterajuinya.

Dr Jeniri berkata berdasarkan kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh beliau dan beberapa pensyarah lain dari Unimas, tahap sokongan terhadap BN di nadi komuniti Melanau adalah kira-kira 84 peratus, hampir sama dengan pilihan raya negeri 2006.

"Komuniti Melanau masih menganggap beliau sebagai pelindung atau wira mereka," katanya.

Beliau berkata malah kaum dan kumpulan etnik lain menyokong Taib dalam kawasan pilihan raya itu, yang menyaksikan pembangunan pesat selepas beliau berpindah kawasan sejak pilihan raya 2001.

Sebelum itu, Taib merupakan wakil rakyat bagi DUN Asajaya, dalam Bahagian Samarahan. "Sebagai contoh, sebahagian besar daripada komuniti Melanau yang fasih berbahasa Cina dan mempunyai hubungan erat di Mukah, Dalat, Balingian, Matu, Daro, memberi sokongan padu mereka kepada beliau," katanya.

Dr Jeniri berkata kajian turut menunjukkan bahawa meskipun sokongan daripada warga tua Melayu-Melanau masih kukuh, kalangan pengundi muda pula yang terdedah kepada pelbagai maklumat dan pengaruh, mungkin mempunyai calon pilihan sendiri untuk diundi.

"Bagaimanapun, jumlah pengundi muda yang mungkin mengundi pembangkang tidak penting," katanya.

Menurut Naib Pengerusi PBB Balingian, Akit Sebli, PBB tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi Melayu-Melanau lain yang diperuntukkan kepada parti berkenaan.

Beliau berkata di sebalik perbezaan etnik mereka, Melayu dan Melanau akan bersatu apabila membabitkan kecenderungan politik.

Daripada 26 kerusi itu, hanya tujuh dianggap sebagai kerusi majoriti Melanau iaitu Balingian, Jepak, Dalat, Jemoreng, Daro, Belawai dan Semop manakala bakinya adalah kerusi yang dikuasai oleh Melayu.

Meskipun pembangkang mengakui bahawa mewujudkan impak di kawasan pilihan raya Melayu-Melanau itu adalah suatu tugas yang sukar, beberapa penganalisis politik memberi amaran bahawa kerusi Melayu-Melanau bukanlah kebal.

Berdasarkan keputusan pilihan raya 2006, PBB hampir kehilangan tiga kerusi iaitu Saribas, Sadong Jaya dan Beting Maro. Kerusi Saribas dimenangi dengan majoriti tipis 94 undi, Sadong Jaya (858) dan Beting Maro (895).

Seorang lagi pensyarah kanan Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata ketiga-tiga kerusi luar bandar itu akan menjadi medan pertempuran yang amat penting bagi BN-PBB. Beliau berkata pertempuran di kawasan ini perlu mengambil kira 'faktor personaliti' dan 'asas politik' untuk mencapai kemenangan.

"Dengan mengetengahkan calon yang tepat dan memenuhi segala janji yang dibuat semasa berkempen serta menyediakan keperluan asas kepada pengundi, akan membantu BN meningkatkan majoriti di kawasan ini," katanya.

Dr Awang Azman berpendapat PBB tidak akan berdepan kesukaran untuk memenangi kerusi lain sungguhpun PKR berkemungkinan dilihat telah mula mendapat pengaruh di Sadong Jaya manakala PAS pula Beting Maro. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain