suria

Kes Saman Royalti Minyak Kekal Dibicarakan Di Mahkamah Tinggi Sivil

KUALA LUMPUR: Saman yang difailkan oleh kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung royalti minyak kekal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil yang baru (NCvC).

Ini berikutan NCvC hari ini menolak permohonan kerajaan negeri Kelantan supaya saman itu dipindahkan ke Mahkamah Komersial baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan kerana ia pada mulanya difailkan di NCC tetapi kini ia didengar di NCvC.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak di dalam kamar.

Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan, Tan Sri Cecil Abraham dan Rishwant Singh mewakili Petronas, dan Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi, dari Pejabat Peguam Negara, mewakili kerajaan persekutuan.

Rishwant memberitahu pemberita bahawa hakim telah menolak kes itu dipindahkan semula kerana ia telah ditukarkan ke Bahagian Sivil untuk mendengar perkara itu.

Beliau berkata hakim menetapkan bahawa perkara pemindahan itu merupakan pentadbiran mahkamah tanpa sebarang permohonan oleh mana-mana pihak.

Ketika ditanya berhubung perbezaan kuasa antara Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Komersial, Rishwant berkata kedua-duanya mempunyai kuasa yang sama.

Beliau juga berkata Petronas dan kerajaan Persekutuan akan memfailkan permohonan untuk membicarakan isu permulaan dari segi undang-undang, supaya mahkamah dapat menentukan isu-isu itu sebelum meneruskan dengan pendengaran.

Rishwant berkata kerajaan negeri Kelantan juga telah memfailkan mengenai penzahiran dokumen-dokumen berhubung saman itu. Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan bagi saman itu, katanya.

Pada 22 Mac, Hakim Zabariah membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Ogos tahun lepas, kerajaan negeri Kelantan hanya menamakan Petronas sebagai defendan atas dakwaan telah melanggar kontrak berhubung pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan berhubung pendapatan minyak.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan negeri itu antara lain memohon supaya dikeluarkan perintah terhadap Petronas agar membuat bayaran penuh dan mendedahkan semua fakta berkaitan dengan pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan, termasuk sepanjang tempoh petroleum dikeluarkan, ditemui atau diperolehi di luar pesisir Kelantan; kawasan atau blok dari tempat petroleum itu ditemui atau diperolehi; dan jumlah pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri itu juga memohon semua bayaran wang tunai tertunggak yang ditentukan oleh mahkamah perlu dibayar dalam masa sebulan dari tarikh perintah mahkamah dikeluarkan.

Selain itu, Kelantan juga memohon dikeluarkan perintah bahawa semua bayaran wang tunai pada masa depan, bagi petroleum yang dikeluarkan dari kawasan luar pesisir sepertimana ditetapkan dalam perjanjian petroleum itu, perlu dibayar kepada negeri oleh Petronas.

Dalam saman itu, kerajaan negeri menjelaskan dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyatakan Petronas perlu membayar secara tunai bagi lima peratus daripada pengeluaran minyak sama ada daripada cari gali di pesisir atau luar pesisir.

Menurutnya, satu klausa dalam perjanjian itu menyatakan pembayaran perlu dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac, atau pada atau sebelum 1 September.

Kerajaan negeri juga berkata Klausa 3 perjanjian itu menyatakan pembayaran perlu diteruskan sehingga deposit minyak yang diperoleh dari negeri itu telah habis. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain