suria

Hujan Berterusan Dijangka Berlaku Di P.Pinang Sehingga Ahad

GEORGE TOWN: Hujan sekejap-sekejap yang kadang kala sederhana, diiringi angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang sehingga Ahad ini.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata keadaan itu boleh mengakibatkan banjir kilat di kawasan rendah dan angin kencang mungkin menyebabkan ribut di beberapa kawasan di negeri itu.

"Kami menjangka Pulau Pinang dilanda hujan lebat terutama pada sebelah petang dan malam bagi tempoh dua hari akan datang, namun keadaan bertambah baik menjelang minggu depan," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Bagaimanapun, cuaca diramal cerah dan baik pada minggu berikutnya kerana angin berkelajuan 20 kilometer sejam menghala ke tenggara.

Sebelum ini, hujan lebat serta ribut petir yang berlaku Isnin lepas dilapor telah mengakibatkan lebih 100 rumah dan beberapa kenderaan di Seberang Perai rosak.

Antara kawasan yang terjejas teruk dalam insiden 10.30 malam itu ialah Sungai Duri, Nibong Tebal, Jawi dan Sungai Acheh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain