suria

Hakim Syarie Dengar Hingga 800 Kes setahun

KUALA LUMPUR: Malaysia masih kekurangan Hakim Mahkamah Syariah untuk mengatasi kes tertunggak terutama berhubung perkahwinan dan perceraian sehingga ada Hakim Syarie terpaksa mendengar sekurang-kurangnya 800 kes setahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kekurangan Hakim Mahkamah Syariah menjadi antara penyebab berlakunya banyak penangguhan kes perceraian dalam negara.

"Memang kita masih kekurangan dari jumlah (hakim) yang diminta, contohnya di Mahkamah Rendah (Syariah), kita memohon 12 hakim tapi cuma dilulus enam dan di Mahkamah Tinggi kita memohon lapan tetapi sehingga kini kita hanya ada empat," katanya ketika menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) mengenai punca penangguhan kes perceraian dan langkah kerajaan bagi mengatasinya.

Mashitah juga berkata Hakim Syarie wanita terbukti berjaya dalam mengendalikan kes-kes yang berkaitan sejak dua daripada mereka dilantik setahun yang lepas.

"Kita hanya ada dua hakim wanita yang telah dilantik sejak setahun lepas dan pada 1 Mac 2011 dilantik seorang lagi hakim wanita yang kini ditempatkan di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka dan (beliau) dipertanggungjawabkan untuk mendengar semua kes (di negeri itu)," katanya.

Ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Mashitah berkata kerajaan bersedia untuk menurunkan kuasa Mahkamah Syariah kepada pihak tertentu seperti kadi bagi menyelesaikan kes-kes perceraian yang tidak menyulitkan.

Bagaimanapun, katanya, penurunan kuasa untuk menyelesaikan kes perceraian tidak boleh diberikan kepada kadi bagi kes perceraian lebih kompleks seperti taklik dan fasakh.

"Taklik dan fasakh terikat kepada proses perbicaraan yang memerlukan bukti tertentu seperti isteri perlu buktikan dakwaan sama ada suami aniaya isteri, suami ghaib, suami mati pucuk, isteri nusyuz atau lain-lain alasan," katanya.

Menjawab soalan asal Noraini mengenai terma dan syarat yang diguna pakai bagi membantu pasangan Islam yang berkahwin dan terlibat dalam kes penceraian yang semakin berleluasa, Mashitah beliau berkata prosedur dan tata cara pengurusan pernikahan dan perceraian orang Islam di Malaysia sudah seragam.

"Ini kerana akta atau undang-undang keluarga Islam negeri-negeri berkaitan pernikahan dan perceraian sudah diselaraskan. Secara langsung, rujukan terma hukum syarak dalam urusan pernikahan dan penceraian di seluruh negeri juga seragam," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain