suria

DAP Umum Senarai Calon Pilihan Raya Negeri Hujung Minggu Ini

SIBU: DAP akan mengumumkan senarai 15 calonnya bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada hujung minggu ini.

Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng berkata Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng akan memulakan pengumuman itu dengan menamakan lima calon bagi zon selatan negeri ini di ibu pejabat parti di Kuching pada Sabtu ini.

"Baki calon bagi wilayah tengah dan utara akan diumumkan di sini pada 3 petang hari berikutnya di venue yang akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Wong, yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Assek, sebelum itu mengetuai tiga bakal calon parti itu mendapatkan borang pencalonan di Pejabat Daerah di sini.

Ketika-tiga mereka ialah David Wong bagi DUN Pelawan dan dua pendatang baru, Alice Lau, seorang ahli farmasi, yang dijangka bertanding di DUN Bawang Assan dan peguam Yap Hoi Liong bagi DUN Dudong.

Ketika ditanya sama ada beliau akan beralih ke kerusi DUN Pelawan, Wong enggan mengulas, sekadar menyatakan bahawa perkara itu akan diketahui apabila barisan calon diumumkan.

"Kami berada di sini untuk mendapatkan lima borang yang sememangnya diketahui boleh digunakan di seluruh negeri ini," katanya.

Sementara itu, Wong berkata DAP telah pun menyelesaikan isu pembahagian kerusi sama ada dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS.

Parti itu berdepan masalah tuntutan bertindih dengan PKR berhubung kerusi DUN Dudong yang kini diperuntukkan kepada DAP.

Mengenai perbincangan pakatan pembangkang negeri dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), sebuah parti politik yang berpusat di negeri ini, Wong berkata perbincangan masih berjalan.

"Sangat penting untuk mereka berbincang, membuat keputusan dan mencapai persetujuan, tambahan pula kami menentang lawan yang sama, Barisan Nasional.

"Malah tarikh akhir untuk perbincangan itu ialah pada hari penamaan calon sendiri (6 April)," katanya.

Pengundian ditetapkan pada 16 April. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain