suria

70 Penerbangan Dari Jepun Tiada Kesan Radioaktif Berlebihan - Ongkili

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pemantauan ke atas penumpang dan anak kapal yang menaiki 70 penerbangan dari Jepun, mendapati tidak ada kadar dedahan radiaoktif berlebihan dikesan.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 29 individu telah hadir ke Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) bagi mendapatkan khidmat pemonitoran pencemaran.

"Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar di enam lokasi seluruh Malaysia juga masih menunjukkan paras normal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ongkili berkata pemantauan masih diteruskan secara aktif terhadap situasi kemalangan nuklear di Jepun dan impak kepada Malaysia melalui AELB, ANM, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Malawakil Vienna, Wisma Putra.

Bagaimanapun, beliau berkata menurut Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Selasa, keadaan masih serius di Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi.

Selain itu, Ongkili berkata Kementerian Kesihatan akan terus memastikan makanan yang diimport dari Jepun selamat.

"Sehingga kini, sebanyak 42 sampel terdiri daripada ikan dan hasilan ikan, sayur-sayuran, hasilan susu dan hasilan kacang soya yang diimport dari Jepun telah dianalisis bagi kandungan bahan radioaktif dan didapati mematuhi tahap yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata laporan itu juga menyebut sebanyak 63 sampel produk makanan diambil dari lapan wilayah iaitu Chiba, Fukushima, Gunma, Ibaraki, Miyagi, Niigata, Tochigi dan Yamagata pada 24 hingga 29 Mac.

"Keputusan yang diperoleh menunjukkan tiada kehadiran Iodin-131 dan Cesium-137, atau jika dikesan, bacaan adalah di bawah kadar had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Jepun," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain