suria

RTC Beri Kata Dua...

ALOR GAJAH: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada Rabu memberi amaran kepada para bloger agar berhenti mengecamnya atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau yang kini merupakan pengerusi Risda menegaskan, sesetengah bloger membuka ruang untuk orang ramai mencerca dan menghinanya ke satu tahap yang melampau.

“Saya tidak pernah dicaj di mana-mana mahkamah atas apa-apa kesalahan sekali pun apatah lagi didapati bersalah kerana melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kolej Risda dekat sini.

Beliau juga mengingatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak keterlaluan dalam melemparkan tuduhan ke atasnya.

“Saya bimbang akan ada lagi Eskay No 2 (merujuk kepada trio Datuk T yang mendedahkan kewujudan video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang) jika mereka berterusan bertindak keterlaluan yang mana kandungannya akan lebih teruk daripada apa yang didedahkan sekarang," kata Rahim.

Rahim juga berkata bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapapun termasuk Anwar jika terdapat komen atau kenyataan yang dikeluarkan mengenainya didapati tidak benar dan bersifat memfitnah.

Artikel Lain