suria

Rakyat Mahu K'jaan Yang Cekap, Bersih & Telus - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat hari ini mengharapkan bukan hanya pembangunan semata-mata tetapi sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan cekap, telus dan bersih yang boleh dianggap sebagai tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri berkata, jangkaan rakyat dan juga sikap mereka terhadap pemimpin dan kerajaan sudah berbeza.

Menurutnya, sebab itu ukuran untuk menjadi pemimpin hari ini adalah lebih tinggi dari dahulu kerana pada masa dahulu maklumat tidak mudah diperolehi tetapi pada hari ini rakyat lebih berpendidikan dan memperoleh maklumat yang lebih.

"Hari ini apapun kita nak sembunyipun akhirnya akan timbul juga, orang akan tahu juga. Jadi kita sebagai pemimpin mesti sedar (dan) kena buat perubahan pada diri kita... penyesuaian.

"InsyaAllah kalau kita buat penyesuaian, saya yakin rakyat masih lagi mahu kepada Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara kita, tapi mereka nak B Nyang sudah berubah mengikut selera keadaan hari ini," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ke-34 di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, di sini, Rabu.

"Kita bukan dalam zon yang selesa...dan dan kita tak boleh anggap ini (situasi hari ini) sebagai urusan seperti biasa, Ia tidak boleh jadi urusan seperti biasa. Sebab keadaan di luar berbeza sekali," katanya.

Perdana Menteri juga meminta anggota Bakti sebagai isteri kepada pemimpin agar sentiasa rendah diri dan berhubung rapat dengan rakyat dalam membantu pelbagai lapisan rakyat seperti warga emas, orang kurang upaya, anak yatim dan ibu tunggal.

"Kalau setiap daripada kita ada semangat bahawa bila kita dah jadi isteri pemimpin kita wajib untuk memberikan kembali kepada masyarakat, apa yang mereka telah amanahkan kepada kita sebagai pemimpin, wajiblah kita membuat sesuatu untuk mengembalikan dan menghargai amanah rakyat yang diberikan kepada kita sebagai pemimpin.

"Kalau kita ada semangat seperti ini nak beri balik kepada masyarakat...nak sumbang pada masyarakat tentu sekali imej kerajaan akan bertambah lebih jernih dan lebih positif lagi di kalangan rakyat dan inilah peranan besar yang boleh dimainkan olleh isteri kepada pemimpin," katanya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan berdiri di atas sokongan dan dokongan rakyat maka apabila berkhidmat adalah untuk rakyat.

"Kalau setiap daripada anggota Bakti merasa sedemikian maka Bakti akan menjadi sebuah badan NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) yang betul-betul unggul," katanya.

Dalam konteks ini, Najib memuji peranan Bakti serta semangat tinggi anggota-anggotanya yang membantu pelbagai lapisan masyarakat dan menurutnya Bakti adalah sebuah badan yang ada kedudukan yang unik dan boleh menjadi satu contoh ikutan kepada badan-badan lain di negara ini.

"Bakti boleh sediakan kepimpinan yang kuat kepada badan-badan lain...boleh menjadi kayu pengukur kepada orang-orang lain bagaimana sebuah badan itu harus ditadbir," ujarnya lagi.

Menurut perdana menteri, Bakti telah mencapai kejayaan demi kejayaan yang membanggakan termasuk dalam soal kutipan derma di mana pada majlis makan malam amal Bakti 2010, sejumlah lebih RM25 juta sumbangan berjaya dikumpul.

"Saya telah mengikuti perkembangan Bakti sejak 1976 lagi...sudah melalui pelbagai zaman. Tapi hari ini saya berasa Bakti telah muncul sebagai sebuah badan yang mantap, unggul dan boleh dibanggakan," kata Najib yang juga penaung Bakti.

Artikel Lain