suria

Muhyiddin Yakin Sarawak Terus Kekal Di Bawah BN

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Sarawak akan terus kekal di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) berdasarkan kepada rekod pencapaian pemimpin BN di negeri ini yang mendapat sokongan padu kerajaan Pusat.

Beliau yang berpuas hati dengan persiapan terperinci oleh BN Sarawak untuk menghadapi pilihan raya negeri pada 16 April depan, Muhyiddin berkata rakyat Sarawak memahami dan menilai pelbagai usaha yang baik untuk menjamin taraf serta keadaan hidup yang lebih sempurna.

"Yang penting kita meneruskan agenda pembangunan di Sarawak di bawah BN menerusi program transformasi dan akan mengambil kira bidang utama yang membolehkan kita mencapai sasaran yang diharapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin komponen BN Sarawak serta anggota dewan tertinggi BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Rabu.

Turut hadir Ketua Menteri dan Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing dan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan.

Muhyiddin, yang mendengar taklimat daripada kesemua pemimpin komponen BN berkenaan, gembira dengan 'mood' baik yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen dalam menggerakkan jentera pilihan raya BN, yang dipimpin oleh Taib. - BERNAMA

Artikel Lain