suria

Kenapa PKNS Lantik Pegawai Kontrak Dengan Gaji Tinggi?

SHAH ALAM: Seorang anggota pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Rabu mempertikai tindakan pengurusan baru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melantik pegawai kontrak dan perunding bagi membuat kerja yang boleh dilakukan oleh para pegawai sedia ada.

Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) memberitahu persidangan dewan undangan negeri, tindakan tersebut mengakibatkan kos pengurusan anak syarikat kerajaan negeri itu melambung tinggi.

Beliau berkata, pelantikan sembilan pegawai kontrak dan perunding dengan gaji bulanan antara RM7,500 sehingga RM20,000 sebulan mengakibatkan PKNS terpaksa membelanjakan sejumlah RM93,000 sebulan bagi membayar gaji mereka sahaja.

Abdul Shukor mempersoalkan mengapa PKNS membayar seorang perunding untuk membuat kerja-kerja berkaitan teks ucapan Pengurus Besarnya dengan bayaran RM7,500 sebulan sedangkan perbadanan itu sudah ada pegawai akhbar dan pegawai perhubungan awam.

Beliau juga mempersoalkan pegawai-pegawai kontrak yang dilantik datang dari syarikat swasta dan mereka tiada pengalaman dalam pelbagai peraturan kewangan kerajaan.

Abdul Shukor menambah, Jabatan Audit Negara cawangan Negeri Selangor dalam laporannya mendapati pada keseluruhannya pengurusan kewangan PKNS adalah tidak memuaskan kerana ketidakcekapan pengurusan serta garis panduan kewangan yang tidak jelas.

Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam PKNS mengikut prinsip moral dan undang-undang.

Abdul Khalid sebelum ini telah mengarahkan operasi PKNS diaudit dan sehingga kini laporan audit itu belum dikeluarkan lagi.

Abdul Shukor menegaska, menteri besar harus memastikan setiap pegawai yang dilantik terdiri daripada mereka yang beramanah dan bertanggungjawab agar tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Artikel Lain