suria

Pilihan Raya DUN Sarawak: Mafrel Akan Patuhi Peraturan SPR

PETALING JAYA: Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) memberi jaminan akan mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pemantauan bagi pilihan raya negeri Sarawak.

Malah Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Mafrel akan bergerak secara profesional bagi memastikan badan bebas itu tidak cenderung atau berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Mafrel terbuka menerima pandangan yang diberikan SPR, kita akan mematuhi syarat dan garis panduan yang diberikan sepanjang proses pilihan raya itu nanti.

"Selain itu sebagai badan pemantau bebas kita terikat dengan etika yang perlu diikuti iaitu akan bergerak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin atau parti politik," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai peluang terakhir yang diberikan SPR kepada Mafrel untuk membuktikan keupayaan mereka memantau proses pilihan raya di negara ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata, pilihan raya negeri Sarawak akan menjadi pilihan raya terakhir yang dipantau badan bukan kerajaan (NGO) itu sekiranya mereka gagal mematuhi arahan termasuk perlu mengemukakan laporan berkaitan pemantauan yang dijalankan.

Mengulas mengenai persepsi bahawa Mafrel tidak benar-benar bebas dan hanya berpihak untuk kepentingan parti tertentu sahaja, Syed Ibrahim bagaimanapun menafikan mengenai perkara itu dan sebaliknya berharap pandangan berkenaan dapat diubah.

Menurut beliau, keutamaan yang diberikan Mafrel ialah mengenai hak pengundi dalam memilih wakil atau pemimpin mereka.

"Mafrel tak berpihak kepada parti politik, tetapi kita berpihak kepada rakyat dan pengundi. Kita mahu pengundi memilih wakil mereka dengan sebaik mungkin demi masa depan mereka sendiri," katanya.

Bagi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada 16 April depan, Mafrel akan membuka empat pusat operasi iaitu di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Artikel Lain