suria

Pilihan Raya DUN Sarawak: DAP Akan Bertanding Semua Kerusi Majoriti Cina

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akhirnya mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bulan depan.

DAP akan bertanding di kesemua kawasan majoriti kaum Cina kebanyakannya di bandar-bandar kecuali Padungan dan Senadin yang akan ditandingi PKR.

Bagaimanapun, PKR masih berminat dengan Dudong yang merupakan milik DAP selama ini.

Ini kemungkinan akan menjadi sedikit halangan kepada kedua-dua parti pembangkang menyelesaikan pembahagian tersebut.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, parti mencadangkan kepada DAP bahawa parti pimpinan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail itu mesti bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi di antara tiga bandar utama – Kuching, Miri and Sibu.

“Alasan kami ialah pada pilihan raya negeri 2006 , PKR telah bertanding di empat kerusi majoriti kaum Cina iaitu Piasau, Senadin, Batu Kawah dan Padungan.

“Kami mahu kekalkan status quo, namun kami sedia berbincang untuk dibuat sebarang perubahan.

“Selepas berbincang, kami hanya tinggal Padungan dan Senadin sedangkan DAP bertegas mahu bertanding di semua kerusi majoriti Cina," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

PKR berhasrat bertanding sebanyak 52 kerusi, DAP (18), SNAP (40) dan PAS (6).

Tian Chua berkata, keputusan itu dicapai selepas mengambil kira kekuatan DAP di kawasan bandar dengan majoriti kaum Cina dan parti itu dilihat mampu mengekalkan kemenangan.

“Sejak tahun lalu, kami dah cadangkan supaya DAP meluaskan penguasaan mereka di luar kawasan pemilih Cina.

“Kami sedia bekerjasama dengan DAP di kawasan tertentu supaya mendapat sokongan lebih daripada pengundi bukan Cina dan membuktikan bahawa parti itu sebagai parti pelbagai kaum.

“Kami komited membina perubahan melibatkan semua kaum di Sarawak berbanding Barisan Nasional yang berpecah mengikut kaum," tambahnya.

Katanya, PKR sedia menyerahkan 15 kerusi kepada DAP bagi kawasan luar bandar.

“Tetapi sehingga kini belum diterima cadangan itu oleh DAP," ujarnya.

Bagi Senadin pula, katanya, PAS sangat mahukan kerusi berkenaan daripada PKR.

“Pimpinan kamu mengalah dan kini hanya tinggal satu kerusi majoriti Cina di kawasan bandar.

“Dan ini adalah tidak sepatutnya kerana akan menjejaskan hasrta PKR menjadi parti yang mewakili semua kaum.

“Pada masa yang sama, terdapat persepsi bahawa DAP adalah sama dengan MCA atau SUPP.

“Saya harap pimpinan DAP dapat membuat keputusan yang bijaksana bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya.

Artikel Lain