suria

Lapan Kampung Di Baling Dilanda Banjir

BALING: Lapan kampung di sekitar Kupang yang melibatkan lebih kurang 1,000 penduduk dilanda banjir awal, Selasa.

Kampung terbabit termasuk kampung Landak Hilir, Belakang Panggung, Pekan Khamis, Banggol Lahar, Cenerai, Belakang Sekolah, Raja, Pekan Kupang dan kawasan di sekitar Sungai Kupang.

Banjir berpunca daripada hujan lebat sejak pukul 9 malam tadi menyebabkan air sungai Kupang melimpah.

Ramli Mohd Nor, 36, dari kampung Landak Hilir berkata dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumahnya seperti kerusi meja, peti ais, televisyen dan almari pakaian kerana air naik begitu cepat.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Zulkifli Ramli ketika dihubungi Bernama berkata JKM sedang membuat bancian mangsa banjir.

Beliau berkata pihak JKM akan menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mangsa banjir gagal menyelamatkan kenderaan mereka ketika bertindak meninggalkan rumah.

Artikel Lain