suria

Kedutaan Sentiasa Pantau Sebarang Bencana Di Jepun

TOKYO: Kedutaan Malaysia di Jepun sentiasa memantau sebarang bentuk bencana termasuk gempa bumi yang mungkin berlaku lagi di sini bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin, kata Duta Malaysia, Datuk Shaharuddin Md Som.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan pusat kawalan bencana Jepun untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai bencana yang sedang diharungi negara matahari terbit itu.

"Kita tidak tahu dan tidak boleh jangka apa yang boleh berlaku kelak, jadi langkah berjaga-jaga sentiasa diambil," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya ketika memerima kunjungan Kelab Putera 1Malaysia dalam misi bantuan kemanusian di sini Isnin.

Satu lagi gempa bumi dilaporkan berlaku di bahagian Sendai, Jepun hari ini dengan magnitud 6.5 pada ukuran skala Richter, yang menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan.

Shaharuddin berkata 223 rakyat Malaysia sudah pun dikeluarkan dari kawasan ancaman gempa bumi serta tsunami dan kini mereka ditempatkan di kawasan selamat, dan ada yang dihantar pulang ke Malaysia.

Shaharuddin berkata, ketika ini terdapat 33 orang rakyat Malaysia yang bekerja di luar kawasan bencana, dan keselamatan mereka sentiasa dipantau pihaknya.

Sementara itu Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kumpulannya sentiasa berwaspada "umpama menghadapi perang" dengan mengambil setiap langkah berjaga-jaga walaupun ketika tidur.

"Keperluan yang perlu seperti baju dan kasut diletakkan ditepi katil ketika tidur supaya apabila berlaku gegaran kami sudah bersedia untuk berpindah," katanya.

Antara cabaran yang dihadapi badan bukan kerajaan dari Malaysia dalam misi yang dijangka berakhir pada 6 April itu ialah ancaman gempa, tsunami dan radiasi.

Misi itu bertujuan menghulurkan kira-kira 200 tan barang keperluan kepada mangsa bencana. Jepun dilanda gempa bumi kuat dengan magnitud 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac lalu yang turut mencetuskan tsunami dan membawa kerosakan kerosakan kepada loji nuklear.

Setakat ini hampir 10,000 orang dilaporkan maut dan 16,000 orang lagi dilaporkan hilang akibat bencana itu. BERNAMA

Artikel Lain