suria

Juruteknik Dihukum Gantung Sampai Mati Edar Syabu

SHAH ALAM: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa, selepas didapati bersalah mengedar syabu seberat 574.78 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Yeoh Thian Hock, 41, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau mendapati tertuduh mempunyai jagaan dan milikan ke atas dadah tersebut.

Yeoh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam A, Unit khas pemeriksaan penumpang 1, Balai Ketibaan Terminal Utama, KLIA, kira-kira pukul 8.40 pagi pada 13 Nov 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia Nor Ariffin Hisham sementara tertuduh diwakili peguam James George.

Artikel Lain