suria

"BN Boleh Rampas Semula Sekurang-kurangnya 9 DUN Selangor" - TPM

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berpeluang sekurang-kurangnya merampas semula sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13. Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun BN mungkin menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang, namun jika ada usaha gigih dan kerjasama daripada semua, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

"BN memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN untuk membolehkan kita memerintah semula Selangor. Sekarang kita kekurangan sembilan sahaja kerusi. Strategi sudah mula diatur untuk menebus kembali sembilan kawasan DUN berkenaan untuk memastikan kita mendapat semula Selangor.

"Ini matlamat BN di peringkat pusat dan negeri dan ia suatu pertempuran yang sengit kerana kita sedar tentunya pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang di sini hari ini, beliau turut menasihatkan rakan-rakan BN di Selangor supaya bekerja keras bermula dari sekarang bagi memastikan kemenangan parti.

Majlis berkenaan dihadiri pemimpin dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, Rukun Tetangga, anggota jawatankuasa masjid dan surau di Selangor, yang diadakan sempena lawatan sehari timbalan perdana menteri ke Selangor hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Timbalan Menteri Kewangan merangkap Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai.

Mengulas mengenai lawatannya itu, Muhyiddin berkata, aktiviti turun padang ke kawasan bandar dan luar bandar di sekitar Selangor adalah antara langkah untuk melihat keadaan dan menilai tahap penerimaan rakyat kepada BN dan barisan kepimpinan parti itu.

"Langkah turun ke bawah ini sememangnya disusun supaya kita dapat melihat sendiri suasana semasa. Dengan cara ini, saya yakin kita dapat lihat perubahan sikap dan peningkatan sokongan untuk tebus semula kekalahan lalu," katanya.

Berdasarkan sambutan dan interaksi yang diterima sepanjang lawatan itu, Muhyiddin yakin rakyat Selangor mula memberikan penilaian positif terhadap kerajaan. "Mungkin kerana mereka faham pendekatan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkaitan Gagasan 1Malaysia menyebabkan mereka lebih yakin," katanya.

Muhyiddin juga berkata, walaupun keyakinan itu tidak dizahirkan melalui kata-kata tetapi ia dapat dilihat menerusi bahasa badan apabila mereka keluar beramai-ramai dengan mesra dan sukarela yang disifatkannya sebagai petanda baik kepada kepimpinan parti.

Artikel Lain