suria

Sultan Selangor Mahu Kerajaan Negeri Main Peranan Aktif Dalam Greater KL

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap kerajaan negeri akan memainkan peranan aktif di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara, iaitu "Greater Kuala Lumpur/Klang Valley" bagi memudahkan kemasukan pelaburan dan perdagangan ke negeri ini.

Baginda bertitah demikian pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-12 di sini pada Isnin.

"Di samping bekerjasama dalam pelbagai projek ini, Beta mahu kerajaan Beta dan para wakil rakyat sentiasa bersuara berasaskan kepentingan negeri dan rakyat negeri ini agar situasi menang-menang kepada semua pihak dapat dicapai," titah baginda.

Baginda bertitah projek seperti Aliran Transit Massa (MRT) yang melibatkan laluan Sungai Buloh ke Kajang sejauh 60 kilometer pasti akan melibatkan sejumlah isu milikan tanah termasuk kelestarian alam sekitar, kesesakan dan perbagai masalah lain.

Menurut baginda, kesemua masalah yang ada perlu ditangani dengan cara berhemah kerana projek ini nanti akan mengubah corak mobiliti penduduk Selangor berdasarkan fakta bahawa kemudahan ini boleh membawa sehingga 400,000 pengguna dan dapat menjana 130,000 peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya di negeri ini.

"Selain itu, pengumuman projek 'River of Life' yang selari dengan projek pembersihan Sungai Klang di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor juga harus dimanfaatkan kerana ia boleh menarik banyak pelaburan asing ke negeri ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, inginkan Selangor terus maju sebagai sebuah negeri yang didiami masyarakat yang dibangunkan secara menyeluruh meliputi aspek kerohanian, pemikiran, fizikal, emosi dan sosial dengan kesedaran sivik serta moral yang tinggi.

Baginda mahukan kerajaan negeri terus melaksanakan program dan kempen bagi memperkuatkan nilai-nilai kekeluargaan, mengupayakan golongan belia dan wanita, menaikkan taraf hidup kumpulan minoriti seperti Orang Asli dan fakir miskin di seluruh negeri.

Kerajaan negeri juga perlu menggalakkan perkembangan kegiatan keusahawanan sosial melalui pelaksanaan strategik kredit mikro dan memantau perkembangan pelaksanaan skim gaji minimum oleh Kerajaan Persekutuan, titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan telah diakui bahawa sistem semak dan imbang itu diperlukan bagi memastikan semua kepentingan diteliti.

Justeru, baginda mahu sistem yang sedia ada hendaklah dijalankan di atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat daripada perseteruan politik.

Menyentuh mengenai ekonomi, baginda bertitah supaya para pemimpin negeri tidak leka dan terus memantau keadaan iklim ekonomi dunia yang kadangkala tidak menentu walaupun negara telah keluar dari kemelut ekonomi global dan ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat.

Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2 peratus dalam 2010 dan yang lebih menggembirakan baginda ialah Selangor merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah 21 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain