suria

Penulis Kanan The Star, Dharmender Singh Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Penulis Kanan The Star, Dharmender Singh (gambar) telah meninggal dunia malam Ahad kerana serangan sakit jantung.

Mendiang berusia 42 tahun dan akan menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-43, 2 April ini.

Dharmender telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam tadi di Hospital Serdang.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkhidmat di Biro The Star Putrajaya.

Menyertai akhbar The Star pada tahun 1992, mendiang juga pernah berkhidmat di Biro Klang pada tahun 2007. Beliau juga pernah berkhidmat di Meja Metro dan berita am sebelum ini.

Beliau dikenali sebagai seorang yang memiliki kepakaran dalam isu air di negeri Selangor dan pernah melaporkan secara khusus mengenai krisis air yang melanda negeri itu pada tahun-tahun 1990-an.

Abang mendiang, Harpajan Singh juga pernah berkhidmat dengan akhbar The Star sebagai timbalan pengarang berita yang mengkhusus dalam hal ehwal Asean.

Harpajan meninggal dunia pada tahun 1999.

Dharmender meninggalkan isteri, Brenda Fernandez dan tiga orang anak - Rajveenjit, 16, Ashveen, 13, dan Yashveen, 8.

Artikel Lain