suria

Pejabat AJK Eksekutif DAP Selangor Diserbu SPRM

PELABUHAN KLANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin menyerbu pejabat Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor, Ang Leng Kiat yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ang berkata, enam pegawai SPRM tiba kira-kira pukul 10 pagi di pejabatnya tanpa sebarang notis dan meminta izinnya memeriksa beberapa dokumen dan fail peribadi.

"Mereka kata sedang memeriksa secara rambang ke atas saya dan syarikat saya. Mereka tak sebut apa-apapun menegenai MBSA," katanya yang terlibat dengan industri perkapalan di sini, Isnin.

Beliau menjelaskan sedia bekerjasama dengan SPRM dan tiada apa yang mahu disembunyikannya.

"Mereka boleh ambil apa sahaja selagi mereka lakukan secara profesional," ujarnya.

Beliau mendakwa tidak mengetahui mengapa beliau menjadi sasaran siasatan.

Katanya, ahli-ahli DAP ada menelefonnya mengenai situasi berkenaan.

Sehingga pukul 4.30 petang, para pegawai terbabit masih berada di pejabat Ang.

Artikel Lain