suria

Lelaki Didakwa Cederakan Kaki Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas tuduhan mencederakan kaki teman wanitanya dengan menggunakan sebilah pisau.

Pengakuan M. Sivam, 26, direkodkan di hadapan Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir.

Dia didakwa mencederakan kaki kanan T. Presenna, 18, pada pukul 5 petang, 18 Mac lalu di Jalan Rimbunan Raya, Laman Rimbunan, Sentul, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Hussin yang menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Sivam yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah tersebut dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Abdullah Siddiq setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh, membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mei depan.

Artikel Lain