suria

Taib Mahmud Sahkan Pertahan Kerusi Balingian

MUKAH: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Balingian dalam pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

"Anda tanya saya apakah saya akan bertanding di Balingian, ya...itulah sebab saya berada di sini pada Sabtu untuk melawat pejabat ini," katanya ketika ditanya oleh wartawan semasa kunjungan singkatnya ke Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Balingian di sini.

Taib berkata parti itu akan meletakkan kira-kira 25 peratus muka baru.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) negeri juga sedang dalam proses membereskan senarai calonnya.

"Setelah kami membereskannya, saya akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pengesahan beliau, mungkin pada 1 atau 2 April," katanya.

Mengenai kemungkinan BN meletakkan lebih ramai calon wanita, Taib berkata sebelum ini terdapat empat hingga lima orang yang berpotensi.

"Tapi mereka menolak kerana komitmen keluarga, pertimbangan kerjaya dan faktor-faktor lain," katanya.

Ditanya tentang persiapan PBB, beliau berkata parti itu cukup bersedia sekarang untuk menghadapi pilihan raya.

Tentang beberapa orang penyandang yang membayangkan baru-baru ini bahawa mereka tidak mahu dicalonkan semula, Taib berkata ini adalah petanda demokrasi yang positif tapi "tentulah tidak ada orang yang boleh kekal di situ selamanya".- BERNAMA

Artikel Lain