suria

Sambutan Karnival Kerjaya Pemuda BN Melebihi Sasaran

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300,000 orang mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) selama tiga hari yang berakhir Ahad, dan jumlah itu melebihi sasaran awal sebanyak 50,000 pengunjung.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaludin berkata sambutan menggalakkan itu adalah satu petanda bahawa terdapat peluang ekonomi yang banyak di negara ini dan sesiapa sahaja boleh mengambil peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

"Kebanyakan mereka bukanlah penganggur tetapi ada yang masih lagi di universiti atau mereka sudah ada pekerjaan tetapi mahu cari pekerjaan yang lebih baik daripada apa yang mereka ada sekarang ini.

"Hari ini baru mereka tahu bahawa peluang ekonomi di negara kita ini sangat banyak," katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Khairy berkata Pemuda BN akan cuba memperluaskan karnival ini ke seluruh negara sekiranya ia berjaya membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan.

"Saya dapat permintaan dari rakan di utara, timur, selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya karnival ini dapat dibawa ke kawasan mereka.

"Karnival di sini akan jadi kayu pengukur dan sekiranya mendapat sokongan daripada syarikat swasta atau agensi kerajaan, Pemuda BN sanggup bawa karnival ini ke tempat lain," katanya.

Beliau berkata karnival itu juga merangkumi bengkel tertentu seperti bengkel membuat resume dan bengkel temuduga untuk membantu mereka yang memerlukannya.

Karnival yang berlangsung sejak Jumaat lepas itu disertai 650 syarikat swasta serta agensi kerajaan.- BERNAMA

Artikel Lain