suria

PKR Tidak Boleh Menjadi Teras Kepada Pakatan Pembangkang:Daim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menjadi teras kepada pakatan pembangkang kerana parti itu hidup kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan untuk Anwar.

Katanya bukan saja pakatan pembangkang tidak mempunyai asas politik yang kukuh, dalam PKR pun yang mana Anwar adalah penasihatnya, terus bergelumang dengan masalah.

"Bolehkah PKR menjadi teras kepada kumpulan ini dan bolehkah pakatan begini meyakinkan rakyat yang ia boleh menjamin masa depan bangsa dan negara lebih baik daripada Umno dan BN (Barisan Nasional) yang sudah membina negara seadanya selama lebih 50 tahun? tanyanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan, Ahad.

Daim, bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata pembangkang yang relevan ialah yang mengawasi dan menegur kerajaan, yang tidak chauvinistik dan tidak berpandangan sempit, yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Jika kita perhati kepada keadaan parti pembangkang sekarang, jelas mereka tidak hilang arah. Cuma, masing-masing ada arah sendiri. Mereka mengamalkan prinsip kahwin monyet," katanya.

Daim berkata mereka juga mencedok format BN tapi secara setengah jalan saja, bukan sepenuhnya dan ini bukan satu alternatif yang unggul bagi rakyat.

"Pakatan Rakyat, saya pernah berkata, hanyalah satu konspirasi politik. Saya lihat kumpulan ini tak akan dapat capai kata sepakat dalam hal penting mengenai kebaikan negara kerana masing-masing parti taksub kepada pendirian dan prinsip sendiri," katanya.

Dalam wawancara itu Daim turut membidas Anwar kerana pendirian yang sentiasa berubah-ubah.

"Tanya kawan Anwar, mereka kata Anwar pakai macam-macam topeng sejak masih di universiti. Waktu dia jadi pelampau bahasa Melayu, bahasa Inggeris diketepikan hingga ramai anak kita yang lahir selepas tahun 1969 hilang kompetensi dalam bahasa Inggeris. Dalam dunia globalisasi, Internet dan teknologi komunikasi sekarang, kekurang fasihan warga kita dalam bahasa Inggeris adalah satu kemunduran.

"Tapi sekarang ini Anwar menjadi pejuang 'multi-culturalism' dan 'liberalisme utopia' pula, sehingga ada di kalangan mereka mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu. Sikap dan tindakan politik begini yang menggadai segala harga diri, maruah, martabat dan prinsip untuk mendapat sokongan tertentu mengingatkan kita kepada watak utama drama Christopher Marlowe, Dr Faustus," katanya.

Daim juga berkata apa yang berlaku sehingga Anwar dipecat dari Umno bukan satu konspirasi politik.

Katanya teori konspirasi politik itu sengaja dicipta Anwar kerana mahu dirinya dilihat sebagai 'The Fall Guy, iaitu insan yang dianiayai bagi meraih simpati serta sokongan bagi menutup hakikat kecacatan peribadi sendiri.

Katanya tanpa Tun Dr Mahathir Mohamad dan jentera Umno di belakangnya, Anwar tak mungkin menjadi Timbalan Presiden parti.

Pada pengamatan ramai, Anwar tidak menunjukkan kebolehan luar biasa sebagai pentadbir. Tidak nampak sebarang 'reformasi' di mana-mana kementerian yang dipegangnya ketika menjadi Menteri, katanya.

"Kehebatannya lebih kepada seorang, yang pintar berpidato bagi membakar semangat dan emosi khalayak walaupun isi ucapan cuma igauan politik saja. Berdasarkan ini, sekarang ini rakyat tak yakin Anwar boleh jadi pemimpin yang berkesan, meskipun setelah kesnya di mahkamah selesai," katanya.

Mengenai pergolakan di Timur Tengah, Daim berpendapat soal kebebasan dan hak asasi manusia, bukan penyebab utama kepada pergolakan itu.

"Yang lebih penting ialah soal kelembapan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan serta kurangnya infrastruktur yang asas dan moden," katanya.

Katanya jika salah satu punca utama keresahan rakyat di Timur Tengah iaitu Palestin menjadi reda, potensi negara-negara Teluk dan lingkungan Arab itu, baik dari segi politik ataupun ekonomi, akan lebih terserlah.- BERNAMA

Artikel Lain