suria

Pengundi Tertanya-tanya Soal Agihan Kerusi Di Kalangan Parti Pembangkang

SIBU: Sejak akhir-akhir ini, anggota Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini dalam keadaan ceria ketika mereka bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri pada pertengahan bulan ini.

Sebabnya ialah kegagalan di kalangan pakatan pembangkang di negeri itu mencapai persetujuan berhubung pengagihan kerusi yang sepatutnya mereka tandingi pada 16 April.

"Tidak sangsi lagi ia memang sukar bagi kami, tapi daripada maklum balas yang kami perolehi sejak beberapa hari lepas, nampaknya ia menyebelahi kami. Orang ramai mula bercakap mengenai kegagalan PKR, DAP dan SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak) mengenai pengagihan kerusi," kata ketua publisiti SUPP Daniel Ngieng.

Pakatan pembangkang mengandungi PKR-DAP-PAS dan parti tempatan Sarawak, SNAP tetapi semuanya membuat tuntutan bertindih dengan PKR mahu diperuntukkan 52 kerusi, SNAP 40, DAP 18 and PAS enam kerusi, yang bermakna kesemuanya 106 kerusi sedangkan negeri itu hanya mempunyai 71 kerusi sahaja.

Beliau berkata kegagalan itu menyebabkan para pengundi tertanya-tanya sama ada pakatan pembangkang merupakan pilihan yang baik berbanding dengan gabungan parti pemerintah memandangkan pengundi bandar yang berpendidikan dan lebih terdedah dengan politik akan mempertimbangkan pelbagai perkara berikutan pimpinan BN mula menyelesaikan pelbagai isu yang tertangguh dan melaksanakan dasar lebih mesra dan adil.

"Orang ramai sudah melihat bagaimana keputusan Perdana Menteri untuk memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang dalam SPM tanpa mengira latar belakang kaum telah dapat diterima ramai. Selain itu, beberapa isu yang telah lama berkaitan tanah telah mula diselesaikan," katanya.

Tambahan pula, Ngieng berkata kerajaan negeri Sarawak dapat menegur dakwaan pembangkang mengenai pembaharuan tanah secara automatik selepas Jabatan Tanah dan Ukur menjalankan kajian dan membuat perbandingan mengenai premium tanah di pelbagai negeri di Malaysia.

"Sehingga ini pembangkang tidak berani membangkitkan isu itu lagi selepas kita terbitkan kadar butiran yang menunjukkan bahawa premium tanah Sarawak masih lebih murah berbanding di Semenanjung, malah di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

"Tambahan pula, kita boleh membuktikan kepada mereka bahawa tidak wujud pembaharuan secara automatik seperti yang didakwa mereka. Sistem tanah yang kita ada adalah sama dengan sistem lain yang dilaksanakan oleh negeri-negeri lain dan juga di negara-negara anggota Komanwel," katanya.

Ngieng berkata bagi SUPP, sejak kekalahan pada pilihan raya kecil Sibu Mei tahun lalu telah menyedarkan mereka mengenai kelemahan terutama di peringkat dalaman dan mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri.

"Sejak kekalahan itu, cawangan Sibu sudahpun menyusun semula keadaan yang berlaku di peringkat akar umbi. Sebagai contoh, bagaimana agar anggota parti menjadi lebih berkesan kepada orang ramai," katanya.

"Kami telah bersedia dalam apa jua cara menghadapi serangan. Sudah tentu kami tidak boleh nafikan ada beberapa perkara seperti siapa yang akan menjadi calon. Ini bukan perkara baru kerana dalam setiap pilihan raya, masalah itu tetap muncul," katanya.

Pemimpin pembangkang tidak menolak pertikaian itu pada keadaan tertentu telah menjejaskan imej mereka di kalangan pengundi tetapi masih yakin mereka mampu menyelesaikannya bagi mengelakkan pertandingan bertindih.

"Kami jangka pemimpin kami bijak untuk menyelesaikan masalah ini. Harapan orang ramai perlu menjadi keutamaan dalam usaha untuk tidak mengecewakan mereka," kata ketua PKR Sibu George Chen.

Bagaimanapun, bagi anggota jawatankuasa pusat DAP Jeff Ooi, dalam laporan online terbaru, mendakwa ada usaha membabitkan SNAP dan pemimpin BN di peringkat persekutuan sehingga menjejaskan pakatan pembangkang malah mereka yang disebut dalam laporan itu menafikan dakwaan sedemikian.

Beliau berkata laporan itu menimbulkan kesangsian mengenai pakatan pembangkang di negeri itu yang sudah mula saling tidak percaya terhadap sesama anggota parti.

"Perkembangan ini tidak baik bagi kami. Parti kini telah bersedia menghadapi apa jua keadaan dengan menumpukan kepada kerusi yang boleh memberi kemenangan. Kami tidak nampak ia sesuatu yang mudah walaupun ada orang berkata kami mempunyai peluang yang baik untuk menang lebih banyak kerusi," katanya.

Bagaimanapun, bagi sesetengah pemimpin SUPP lseperti ketua Pemudanya Sih Hua Tong, beliau tidak mahu anggota parti untuk berasa selesa dengan memikirkan bahawa mereka boleh mengambil peluang dengan pertikaian yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata SUPP wujud bukan bergantung atas kelemahan pembangkang.

"SUPP telah lama bersama dengan rakyat, sejak penubuhan parti. Ia bukan disebabkan kelemahan pembangkang. Bagaimanapun, seperti parti politik yang lain, kami juga tidak sempurna tetapi apa yang lebih penting ialah kami terus berkhidmat kepada rakyat dan berjuang untuk rakyat," katanya ketika dihubungi.- BERNAMA

Artikel Lain