suria

Kerajaan Ubah Dasar Untuk Adil Kepada Semua:PM

KLUANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengubah dasarnya dari masa ke masa agar ia adil kepada semua orang tidak kira latar belakang kaum dan agama mereka.

Perubahan dasar yang selaras dengan konsep 1Malaysia adalah untuk membina suatu ekosistem yang membolehkan rakyat mencapai potensi maksimum mereka berdasarkan kebolehan masing-masing dan menyumbang ke arah mencapai visi untuk menjadikan negara ini satu bangsa yang besar dan maju pada masa depan.

"Kita mahu memastikan bahawa dasar kita adalah adil kepada setiap warga Malaysia," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan mahukan masa depan negara ini berlandaskan pada hubungan baik di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama hingga mewajarkan perubahan dasar itu dan kerajaan mahu rakyat menganggap yang ia adalah milik mereka semua.

Najib melancarkan lampu pinggir jalan bertenaga suria Sekolah Menengah Chong Hwa di sini Sabtu.

Beliau menggesa rakyat menyertainya dalam perjalanan melakukan transformasi ke arah mencapai masa depan yang lebih baik dan lebih cerah sebagai sebuah keluarga besar di bawah semboyan 1Malaysia.

"Ini bukan perjalanan biasa. Ia sebuah perjalanan untuk mendaki puncak pencapaian tertinggi negara tercinta kita, Malaysia," katanya sambil lebih daripada 2,000 hadirin memberikan tepukan gemuruh.

Najib memuji sekolah berkenaan kerana menggunakan lampu tenaga suria sebagai usaha mendidik pelajar tentang pentingnya teknologi hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Sebelum majlis itu, Najib diberi sambutan meriah oleh lebih daripada 1,000 orang semasa beliau melakukan walkabout selama 20 minit di Jalan Stesen.

Beliau kemudian menemui para pemilik teksi dan peniaga di Terminal Bas dan Teksi Kluang.- BERNAMA

Artikel Lain