suria

Ibu Bapa Susah Rayu Bantuan Persekolahan

BANDAR BAHARU: Sepasang suami isteri yang miskin dan menderita sakit di Kampung Keda, Sungai Kecil Ilir di sini marayu simpati orang ramai untuk membantu persekolahan empat orang anak mereka.

Ismail Mohd Zain, 66, sangat memerlukan bantuan kerana tidak dapat bekerja akibat penyakit batu karang yang dialaminya.

"Saya menghidap batu karang sejak dua tahun lalu, tetapi agak teruk lima bulan lalu. Saya telah dibedah di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

"Sejak itu saya tidak lagi boleh menggunakan saluran kencing secara biasa tetapi terpaksa menggunakan saluran plastik yang diusung ke mana saja," katanya.

Ismail yang sebelum ini bekerja membuat rumah berkata beliau mendapat bantuan selaku Pesakit Kronik Terlantar sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Inilah saja pendapatan kami anak-beranak," katanya.

Isterinya Noraini Salleh, 50, tidak bekerja dan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan rawatan berkala.

Mereka mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah.

Dua daripada anak mereka yang berada di Tingkatan Lima dan Tingkatan Empat masih belum menjelaskan yuran sekolah termasuk yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi anaknya di Tingkatan Lima. - BERNAMA

Artikel Lain