suria

Cabaran 3 Dalam 1 Bagi Misi Bantuan Ke Jepun

SEPANG: Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Jepun merupakan tugas lebih berat dan mencabar dalam menghadapi cabaran 3 dalam 1 - Gempa, Tsunami dan Radiasi.

Justeru itu, Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pelbagai langkah keselamatan diambil termasuk membawa 15 pakar perubatan dan dua pakar dari Agensi Nuklear Malaysia.

Selain itu, setiap sukarelawan dalam misi bantuan itu akan dibekalkan dengan alat pengesan radasi, katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Jepun bersama 40 lagi sukarelawan serta wakil media di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, Ahad.

Katanya mereka membawa 200 tan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan selimut untuk diagihkan ke seluruh pusat pemindahan di sekitar kawasan bencana di negara matahari terbit itu.

Terdahulu itu, Abdul Azeez menerima bantuan RM100,000 daripada kerajaan negeri Melaka untuk disalurkan kepada mangsa bencana di Jepun yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa ke pejabat Putera 1Malaysia di Kampung Attap selewat-lewatnya 19 April ini.

Selain itu, mereka juga boleh menyumbangkan RM200 kepada mana-mana cawangan Mydin sebagai harga untuk satu kotak bantuan mengandungi pelbagai jenis makanan untuk disumbangkan kepada mangsa, katanya.- BERNAMA

Artikel Lain