suria

Program Pemulihan Bukti Kerjasama Unik KDN Dan Kementerian Pertahanan

KLUANG: Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu, merupakan kerjasama di antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Beliau yang menyifatkan program pemulihan pemasyarakatan itu sebagai suatu yang amat unik dan berkemungkinan 'satu-satunya yang wujud di dunia", sambil mengucapkan tahniah kepada kedua-dua kementerian itu.

Menerusi program ini, sebuah pusat pemulihan bernilai RM4.5 juta telah dibina di dalam Kem Mahkota di sini, bagi menempatkan kira-kira 200 banduan yang ditahan kerana melakukan kesalahan-kesalahan ringan.

Pentadbiran dan kawalan terhadap banduan yang berada di dalam pusat pemulihan itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara, sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Najib berkata, program pemulihan ini memberi peluang kepada banduan untuk melakukan kerja-kerja khidmat bakti dan khidmat berbayar di dalam persekitaran masyarakat.

"Melalui program ini, penghuni pusat pemulihan akan berulang alik ke tempat kerja setiap hari dan menetap di tempat kerja berkenaan. Mereka boleh bekerja di sektor perkilangan, pertanian, penternakan dan perkhidmatan disamping mengikuti kursus-kursus yang diluluskan," katanya.

Anggota keluarga banduan-banduan di pusat pemulihan itu dibenarkan menemui anggota keluarga mereka setiap hari, dengan kuarter-kuaters perumahan turut disediakan bagi kemudahan mereka.

Program itu dilaksanakan bagi membantu banduan kembali ke pangkuan masyarakat agar berlaku proses asimilasi, interaksi dan integrasi secara positif dengan masyarakat sebelum mereka dibebaskan.

Selain membantu banduan menyesuaikan diri, program ini juga bermanfaat bagi membantu banduan menyumbang secara ekonomi kepada keluarga hasil daripada upah yang diperolehi.

Banduan-banduan itu juga tidak lagi menjadi beban kepada keluarga sebaliknya mampu menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Program pemulihan ini juga mampu mendorong banduan berkelakuan baik dan meningkatkan tahap disiplin mereka, juga sebagai motivasi untuk mereka mengekalkan perubahan sikap yang baik.

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.- BERNAMA

Artikel Lain