suria

Polis Selamatkan 60 Wanita Filipina Yang Diseludup Ke Sandakan

SANDAKAN: Polis menyelamatkan 60 wanita Filipina yang dipercayai diseludup masuk ke daerah ini apabila menyerbu dua rumah di jalan ke Kampung Bambangan dekat sini, Jumaat.

Rata-rata wanita berusia antara 20 dan 48 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mereka dipercayai diseludup masuk ke sini oleh satu sindiket dan dijanjikan untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara-negara timur tengah, kata Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marung.

Beliau berkata dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu, polis turut menahan 17 penghuni di dua rumah terbabit.

"Siasatan awal polis mendapati kesemua wanita itu ditempatkan di rumah itu sejak awal minggu ini selepas dibawa masuk ke negeri ini oleh sindiket terbabit," katanya di sini Sabtu.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.- BERNAMA

Artikel Lain