suria

Mangsa Banjir Di Daerah Kerian Berkurangan

IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian berkurangan kepada 247 orang malam Jumaat berbanding 406 orang pagi ini selepas penduduk sebuah daripada 12 kampung yang dinaiki air sejak lima hari lalu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Mat Fauzi Nayan berkata mangsa banjir yang dibenarkan pulang petang tadi membabitkan penduduk Kampung Alor Setangguk seramai 159 orang.

Mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan ialah penduduk Kampung Matang Pasir, Kampung Tanjung Bugis, Kampung Parit Simpang Lima, Batu 37 dan 38 Jalan Keretapi, Kampung Parit Abu Hasan, Parit Haji Hasan Ban, Batu 40 Jalan Bukit Merah, Parit Mat Keling, Kampung Tebuk Pancur, Kampung Parit Ayer Hitam dan Kampung Perlis.

Fauzi berkata semua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Sekolah Kebangsaan Bukit Merah, Sekolah Kebangsaan Haji Dahalan dan dewan orang ramai di Alor Pongsu.

Kampung terbabit dinaiki air setinggi 0.5 meter hingga 1 meter berikutan tindakan melepaskan air dari empangan Bukit Merah akibat hujan lebat sejak lima hari lalu, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jalan raya di Kilometer 17 dan 18 Alor Pongsu-Selama, Jalan Bukit Merah ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menyalurkan bantuan makanan serta minuman. - BERNAMA

Artikel Lain