suria

TPM Kazakhstan Tertarik Sekolah PERMATApintar

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Yerbol Orynbayev berkata beliau sangat tertarik dengan idea penubuhan Sekolah PERMATApintar.

"Ini merupakan satu pelaburan penting untuk menjana modal insan. Ia adalah pelaburan bagi memiliki kanak-kanak yang amat berkebolehan, satu sumber yang semakin berkurangan untuk masa depan sesebuah negara," katanya pada sidang akhbar selepas berkunjung ke sekolah tersebut di sini Jumaat.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung PERMATA.

"Saya gembira mendengar Malaysia memberikan perhatian yang begitu mendalam terhadap isu sepenting ini. Anda sememangnya memikirkan masa depan negara dengan menjaga kebajikan seorang kanak-kanak yang amat berkebolehan. Anda memberikan mereka masa depan serta peluang yang sangat cerah," katanya.

Yerbol, yang berada di negara ini lima hari mulai Rabu, berkata beliau terkejut dan tidak sedar bahawa Malaysia mengambil langkah seperti kebanyakan negara maju dengan mewujudkan sekolah sedemikian.

Beliau berkata Kazakhstan mempunyai satu projek yang serupa apabila membina 20 sekolah intelek yang diberi nama sempena Presiden dan pengasas negara itu, Nursultan Abishuly Nazarbayev, bagi menunjukkan penekanan mengenai kepentingan pendidikan.

"Kami mempunyai lima sekolah yang sudah dibuka setakat ini, dengan kira-kira 4,000 pelajar manakala 15 lagi akan beroperasi tahun depan. Kami akan menerima empat kali ganda jumlah pendaftaran pelajar," katanya.

Yerbol berkata sistem sekolah itu sedikit berbeza kerana pelajar di PERMATApintar perlu menjalani prosedur ujian yang ketat.

"Anda lebih maju dan kami berharap untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sekolah ini kerana pengalaman kami tidak sehebat anda," katanya.

Beliau berkata fokus sekolah intelektual Kazakhstan lebih kepada pendidikan teknikal seperti Biologi, Fizik dan Kimia.

"Saya terkejut apabila melihat anda di sini turut menggalakkan pendidikan seni, muzik dan sukan. Ini akan membolehkan kanak-kanak menggunakan kedua-dua sisi otak mereka. Kami mungkin akan menggunakan pendekatan sama," katanya.

Sementara itu, Rosmah menjemput Yerbol menghantar wakil dari sekolah intelektual Kazakhstan untuk menyertai satu Kem Percutian di sini pada hujung tahun ini.

Rosmah juga berkata beliau ingin mengunjungi sekolah intelektual di Kazakhstan ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu yang dijadualkan Jun ini, bagi memahami lebih lanjut sistemnya.

"Kita sentiasa boleh belajar daripada satu sama lain dan berkongsi pengalaman demi generasi masa depan," katanya.

Selain Sekolah PERMATApintar, tiga lagi program PERMATA ialah Permata Negara, Permata Seni dan Permata Insan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain