suria

Polis Tumpas Sindiket Curi Kereta Dan Motosikal Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta dan motosikal di bandar raya ini dengan penangkapan 27 anggota kumpulan itu sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner (ACP) Gan Kong Meng berkata hasil penangkapan mereka yang berusia antara 18 dan 50an itu, polis berjaya menemui 49 motosikal dan tiga buah kereta yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini.

"Daripada jumlah yang ditahan itu, 10 lelaki telah didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-204, di sini, Jumaat.

Mengulas isu berbeza, Gan berkata kadar jenayah di bandar raya ini telah berjaya diturunkan sebanyak 23 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 643 kes dilaporkan berbanding 836 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Tanpa sokongan masyarakat menerusi penglibatan dalam skim rondaan sukarela, polis bantuan dan polis komuniti, polis tidak mampu mencapai sasaran penurunan kadar jenayah serendah itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain