suria

Polis Rampas Dadah RM160,000, Berkas Penganggur

KLANG: Polis memberkas seorang penganggur dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM160,000 dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Juara di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata lelaki berumur 33 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak tahun lepas.

Beliau berkata hasil maklumat orang awam tiga anggota polis menyerbu kediaman setingkat itu pada pukul 6.30 pagi, dan menahan suspek bersama dadah jenis Syabu seberat 13 gram.

Katanya selepas disoal siasat suspek menunjukkan kepada polis stok simpanan pelbagai jenis dadah yang lain seperti Heroin seberat 915 gram, Syabu seberat 629 gram, Ketamin seberat 249 gram dan 1,000 biji pil Eramin 5 seberat 302 gram di bilik belakang rumah berkenaan.

"Siasatan mendapati dadah itu dibekalkan untuk pasaran di sekitar Klang dan kami percaya pembekal adalah dari luar daerah ini. Terdapat juga dadah yang siap dibungkus dalam paket plastik lutsinar dipercayai akan diserah kepada 'runner' untuk diedar di kawasan Klang," katanya dalam satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, Jumaat.

Mohamad berkata lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau, dan ujian saringan air kencing mendapati bahawa suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek kini direman sehingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain