suria

Pemandu Teksi Dipenjara Sembilan Tahun, 20 Sebatan Kerana Miliki Ganja

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki ganja seberat 524.6 gram, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Hellmi Yahya, 32, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac tahun lepas.

Hellmi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan terhadap tuduhan memiliki ganja seberat 191.6 gram di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom, Kuala Langat dekat sini, kira-kira pukul 8 malam pada 23 Mac tahun lepas.

Dadah itu ditemui di dalam teksi milik tertuduh iaitu di atas alas kaki bahagian hadapan tempat duduk pemandu.

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan atas satu lagi tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 333 gram di E4-11, Apartmen Seri Trompet, Lingkaran Sri Kembangan, Seksyen BB7, Bukit Beruntong dekat sini, kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 24 Mac tahun lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Hellmi didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara serentak.

Hellmi sebelum ini mengaku tidak bersalah mengedar ganja seberat 333 gram mengikut Seksyen 39B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pertuduhan pilihan ditawarkan kepadanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara Hellmi diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain