suria

Parti Cinta Malaysia Rayu SPR Izin Guna Lambang Parti

SIBU: Parti Cinta Malaysia (PCM) mengemukakan rayuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon kebenaran bagi calonnya menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 bulan depan.

Naib Presiden PCM Huan Chen Guan berkata parti itu telah menyerahkan surat rayuan itu kerana adalah sukar bagi calon PCM bertanding jika mereka tidak dibenarkan menggunakan lambang parti sendiri.

"Kami merayu kerana PCM telah didaftarkan dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan). Kami tidak mengetahui bahawa kami perlu mendaftar lagi dengan SPR bagi membolehkan kami menggunakan lambang parti sendiri.

"Kami terlepas pandang perkara ini dan berharap SPR akan mempertimbangkan rayuan kami," katanya.

Sebelum ini, SPR menyatakan meskipun PCM telah mendaftar sebagai parti politik, mereka tidak mendaftarkan lambang parti itu kepada SPR dan oleh yang demikian, calon-calon PCM perlu menggunakan lambang lain atau bertanding sebagai calon bebas.

PCM Sarawak, yang diketuai wakil rakyat Ngemah selama empat penggal, Gabriel Adit berhasrat bertanding 10 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak, yang ditetapkan pada 16 April manakala penamaan calon 6 April.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Baria ketika dihubungi mengesahkan PCM telah mengemukakan surat rayuan itu kepada SPR dan suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi meneliti rayuan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain