suria

Musa Aman Jumpa Presiden Presiden LDP Untuk Jernihkan Keadaan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sedia berjumpa dengan pimpinan tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) termasuk presidennya Datuk VK Liew bagi menjernihkan keadaan berikutan pelantikan timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru.

"Pintu sentiasa terbuka untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus kerajaan negeri di Wisma Innoprise, Likas dekat sini, Khamis.

"Tiada masalah kalau mereka mahu jumpa saya dan saya memang kerap berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin LDP. Apa yang penting ialah sentiasa mewujudkan persefahaman yang mantap supaya apa juga masalah yang ada dapat diselesaikan dengan baik," kata beliau yang juga Pengerusi BN Sabah.

Semalam, Liew dipetik sebagai berkata bahawa pelantikan Yee itu adalah satu keputusan yang kurang tepat dan dia menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya.

Ketika mengumumkan pelantikan itu, Musa berkata Yee yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, akan mengisi kekosongan selepas Datuk Peter Pang En Yin, yang kini menyertai Gerakan, digugurkan pada 16 Mac lepas tetapi dikekalkan sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah. Sebelum ini, Pang merupakan bekas naib presiden LDP.

Sabah mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri, di mana presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dilantik ke jawatan itu bagi memenuhi kuota bagi kaum Kadazandusun Murut, manakala Datuk Seri Yahya Hussin bagi kaum Bumiputera Muslim, dan satu lagi kuota khusus buat kaum Cina.

Mengenai rasa tidak puas hati LDP, Musa berkata beliau menghormati pandangan Liew berhubung perkara itu.

"Apa yang penting sekarang ialah untuk berbincang dan ambil kira pandangan orang-orang Cina termasuk pimpinan LDP, mungkin jawatan-jawatan yang "baik" akan diberikan kepada mereka pada masa depan," katanya.

Musa seterusnya menyuarakan keyakinannya bahawa anggota komponen BN negeri akan terus bekerjasama demi memastikan BN terus kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.

Sementara itu, Musa berkata lebih 85 peratus projek pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan tahun lepas iaitu tahun akhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9). Katanya perkembangan itu mempamerkan sistem penyampaian kerajaan yang baik dan pencapaian itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjayakan sasaran kerajaan.

"Kerajaan mahu supaya sistem penyampaian ditingkatkan lagi supaya mencapai satu tahap yang lebih baik.

"Jadi saya minta semua pegawai kerajaan negeri dan persekutuan supaya meningkatkan usaha agar apa yang dilaksanakan dapat mencapai sasaran," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain