suria

Model Baru Politik BN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Model Baru Politik Barisan Nasional (BN) yang diperkenalkan adalah untuk memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, parti itu perlu menggunakan pendekatan baru dengan memberi tumpuan yang lebih kepada soal intra politik dan bukannya memberi tumpuan kepada peringkat cawangan atau bahagian dengan hanya membuat desakan kepada pihak kerajaan.

“Jika BN tidak faham dan dengar denyut nadi rakyat maka kita tidak mungkin akan dapat mencari jalan penyelesaian yang tepat untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Inilah yang dimaksudkan dengan Model Baru Politik. Kita bukan sahaja perlu tahu masalah rakyat tapi kita perlu cari jalan penyelesaian yang kreatif. Kita jangan tunggu rakyat datang pada kita, tapi kita perlu datang pada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Mohd Najib berkata, prinsip tersebut perlu dipegang dan diaplikasikan jika ahli parti mahu rakyat terus menyokong BN pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin turut mengumumkan 230 tempat untuk mendapatkan Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) yang bernilai RM16.5 juta bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang namun tidak mendapat tajaan mana-mana pihak.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, peluang tersebut terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa dan latar belakang serta kaum.

“Kita menyediakan 180 tempat untuk program diploma, 100 ijazah dan 80 lagi untuk ijazah lanjutan. Saya akan menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh tokoh akademik pada minggu hadapan.

“Kita mahu mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat biasiswa ini. Kita mahu ketelusan dalam pemilihan ini sebab itu satu jawatankuasa akan ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 20 buah kolej dan institusi pengajian tinggi swasta terlibat dalam program penawaran biasiswa tersebut.

“Mereka yang berminat boleh melayari laman web akan dilancarkan pada minggu hadapan,” katanya.

Mengenai Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011 yang berlangsung, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata sebanyak 40,000 peluang pekerjaan ditawarkan selama tiga hari karnival tersebut berlangsung.

“Inilah karnival kerjaya paling besar pernah diadakan dan ia akan direkodkan dalam Malaysia Books of Records. Setakat ini kita telah menerima 60,000 permohonan secara atas talian.

“Yang datang hari ini sahaja, 16,00 pemohon dan daripada jumlah tersebut 700 orang telah menjalani proses temuduga. Kita jangka ini akan terus meningkat pada penghujung minggu ini,” katanya.

Karnival Kerjaya Pemuda BN yang bermula pada hari ini akan berakhir pada 27 Mac. Sebanyak 650 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta turut serta dalam karnival kerjaya tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain