suria

Komputer, Perisian Cetak Rompak Dirampas Di Pusat Pengajian Di Klang

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyerbu sebuah pusat pengajian dan latihan di Klang semalam dan merampas 15 komputer dan 34 salinan perisian yang dipercayai cetak rompak membabitkan nilai RM107,000.

Ketuanya bahagian itu, Fahmi Kasim berkata perisian cetak rompak itu disita pada 2.30 petang membabitkan Adobe After Effects CS4 dan Microsoft Office 2003.

Komputer yang dirampas bernilai RM45,000 dan perisian RM62,000, katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Beliau berkata serbuan semalam merupakan operasi pertama pada tahun ini yang dilakukan di pusat pengajian tinggi.

Fahmi berkata institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab sosial bukan hanya menyalur pengetahuan dan melahirkan pemimpin masa depan tetapi ia juga perlu menyuntik etika yang baik di kalangan pelajarnya.

Katanya tahun 2010 mencatatkan rekod bagi unit itu kerana kejayaannya memerangi perisian cetak rompak dengan 70 serbuan membabitkan rampasan komputer dan peralatan tambahan sebanyak 465 unit yang bernilai RM1.4 juta dan 1,618 salinan cetak rompak bernilai RM6.3 juta ringgit.

Keseluruhan jumlah harta yang dirampas membabitkan RM7.7 juta pada 2010, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain