suria

Dua Laporan Polis Terhadap Trio 'Datuk T'

KUALA LUMPUR: Dua laporan polis dibuat terhadap trio 'Datuk T' atas kesalahan membuat tayangan serta menyimpan rakaman video lucah di Seri Carcosa Negara Isnin lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dan Presiden Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (Gapet), Khairul Anwar Othman.

Mereka menuntut bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim ditangkap kerana kesalahan menyimpan dan mempamerkan rakaman video lucah.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Khairul Anwar tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12 tengah hari dan keluar kira-kira dua jam kemudian.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Dalam laporannya, Gwo Burne dan Khairul Anwar menamakan Rahim dan Shazryl sebagai individu yang membuat tayangan video lucah didakwa melibatkan pemimpin kanan parti pembangkang.

"Saya menuntut supaya Rahim dan Shazryl ditangkap dan segera disiasat kerana melakukan kesalahan menyimpan dan mempamerkan rakaman video lucah.

"Ini kerana ia melanggar Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem,” kata Gwo Burne kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi di sini, Khamis.

Beliau menggesa pihak polis segera bertindak kerana perkara tersebut telah dilihat sebagai satu konspirasi politik yang cuba menjatuhkan kredibiliti dan maruah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ramai yang marah dengan isu ini. Satu dan dua kes tuduhan kes liwat sudah cukup. Kita tidak mahu nama Malaysia diburukkan lagi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO), mendesak tidak ada campur tangan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dalam penyiasatan kes berprofil tinggi tersebut.

“Ini adalah satu kes yang perlu diambil perhatian kerana kita lihat mereka ini terlibat dengan rakaman dan tayangan video lucah ini,” katanya.

Isnin lalu, satu kumpulan yang dikenali sebagai Datuk 'T' sebagai mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu, yang dianggotai oleh Rahim, Eskay dan Shuib berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Sehubungan itu, Anwar pada Selasa membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara. Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Anwar menyifatkannya sebagai serangan yang mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik ke atas karakter serta reputasi beliau dan keluarganya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain