suria

SPRM Soal Siasat Setiausaha Pengelola PKR

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menyoal siasat setiausaha pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) Radin Shamsul Kamar dipercayai berhubung kes penyalahgunaan dana Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Mahad berkata proses soal siasat itu adalah prosedur biasa apabila SPRM menerima laporan berhubung dakwaan kes-kes berkaitan rasuah.

"Tujuan kita panggil hari ini ialah untuk menyoal siasat berhubung dakwaan dan laporan yang kami terima," katanya ketika ditemui pemberita di luar pejabat SPRM Selangor di sini, Khamis.

Radin Shamsul dilihat memasuki pejabat SPRM di Tingkat 8, Wisma PKPS di sini, pada 11.30 pagi diiringi dua peguam, N.Surendran dan Lateefa Koya.

Jaafar enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kes yang dikaitkan dengan Radin Shamsul berhubung soal siasat yang dijalankan hari ini.

Pada 24 Februari lepas, Pemuda Umno Selangor dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan kononnya kerajaan PKR Selangor menyalah guna wang rakyat bagi membiayai penginapan anggota perwakilan parti pada kongres PKR November tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain