suria

Sebanyak 604 Kereta Hibrid DIjual Sehingga 2010

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa bahawa sebanyak 604 unit kereta hibrid dijual di negara ini berikutan pengecualian cukai yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun sehingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata penggunaan kereta hibrid jenama Toyota Prius dan Honda Civic, di negara ini semakin meningkat.

"Bagi 2008, kereta hibrid yang terjual sebanyak 10 unit, namun meningkat kepada 267 unit pada 2009 manakala pada 2010, sebanyak 327 unit kereta dijual," katanya menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat).

Dr Che Rosli bertanyakan kesan pengecualian cukai kereta hibrid terhadap pengeluaran dan pemasaran kereta hibrid sehingga kini, dalam menjayakan hasrat mewujudkan persekitaran mesra alam.

Mukhriz berkata kereta hibrid itu diimport secara pasang siap.

"Sehingga kini, belum ada syarikat pengeluar kenderaan yang mengeluar atau memasang kereta hibrid di negara ini," katanya.

Bagaimanapun katanya sehingga Mac ini, lapan lesen pengilang diluluskan bagi pengeluaran kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Mukhriz berkata teknologi kereta yang menggunakan bateri sepenuhnya di negara ini masih baharu, malah prasarana untuk mengecaj kenderaan juga tidak meluas.

"Oleh sebab itu, sebagai interimnya jenis kenderaan yang diterima oleh masyarakat negara asing ialah jenis kereta hibrid yang menggunakan kedua-duanya iaitu menggunakan minyak dan bateri.

"Ini memberi peluang kepada pengguna untuk mengurangkan kos perbelanjaan menggunaan minyak, pada masa yang sama ia tidak menghadapi masalah enjin kereta mati di tengah jalan berikutan kehabisan bateri," katanya.

Dr Mohd Hayati bertanyakan cara untuk mengurangkan penggunaan elektrik pada kereta proton Emas yang masih menggunakan minyak untuk menggerakkan kereta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain