suria

Sarang Pelajar Ponteng Di Terengganu Diserbu

KUALA TERENGGANU: Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu dan beberapa agensi lain pada Khamis menggempur beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Marang yang menjadi tumpuan pelajar ponteng dan menahan 31 pelajar menengah, tiga daripada pelajar perempuan.

Kebanyakan pelajar itu yang menjadikan rumah-rumah kosong dan surau berhampiran sebagai tempat ponteng, bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pegawai-pegawai itu, malah ada yang sanggup bersembunyi dalam paya daripada ditahan.

Mereka yang lengkap berpakaian sekolah dan berpakaian sukan memberikan pelbagai alasan apabila ditanya kenapa mereka ponteng sekolah dan ada yang bersikap kurang ajar dengan memaki guru dan anggota Rela yang menahan mereka dalam operasi itu.

Kesemua pelajar berkenaan kemudian dikumpulkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir, sebelum ibubapa mereka dipanggil ke sekolah untuk menjemput mereka pulang setelah diberikan motivasi.

Pengarah Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata operasi berkenaan bertujuan memberi peringatan kepada pelajar terlibat tentang keburukan ponteng sekolah.

"Gejala ini tidak serius di Terengganu tetapi jabatan mengambil pendekatan mengadakan operasi ini sebagai langkah untuk mencegahnya daripada merebak," katanya kepada Bernama.

Razali berkata Jabatan Pelajaran Terengganu merancang untuk mengadakan program khas untuk meningkatkan sahsiah dan peribadi pelajar. Operasi yang dijalankan dari 8 pagi sehingga 12 tengah hari, turut disertai wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, guru-guru, Rela, polis dan pemimpin-pemimpin tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain