suria

"Orang Yang Tuduh Polis & Saya Lebih Baik Kemukakan Bukti Atau Kita Saman" - Hisham

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar mereka yang menuduhnya mempunyai kaitan dengan isu rakaman video klip adegan seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang supaya menunjukkan bukti.

“Buktikan jika anda mahu menuduh. Saya cabar mereka yang membuat tuduhan ke atas saya supaya menunjukkan bukti,” katanya kepada para pemberita di ketika ditemui di lobi Parlimen, Rabu.

Hishammuddin berkata, adalah amat jelas sekali, tuduhan seperti ini dilakukan adalah bertujuan untuk mengalihkan perhatian orang ramai ke atas isu tersebut dan menimbulkan kekeliruan.

Malah Hishammuddin turut menegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak akan menimbang untuk menyaman pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh pihak polis adalah di belakang konspirasi untuk menjatuhkan dan mengaibkannya.

Ini adalah untuk mempertahankan maruah pasukan polis, ujarnya lagi.

“Peguam kami sedang melihat akan perkara ini demi menjaga nama baik dan maruah polis,” ujarnya.

Tentang syor pelbagai pihak agar pihak berkuasa membentuk sebuah suruhan jaya untuk menyiasat kebenaran dan ketulenan rakaman video berkenaan, Hishammuddin berkata, bukanlah tanggungjawab beliau untuk menentukan perkara itu.

Katanya, biarlah polis menjalankan tugas mereka menyiasat perkara ini dahulu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain