suria

Mahkamah Tolak Saman Bekas Tahanan ISA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak saman RM200 juta yang difailkan oleh dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) M. Manoharan dan P. Uthayakumar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan lima yang lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan permohonan Najib dan lima yang lain untuk membatalkan saman tersebut selepas mendengar hujahan daripada Manoharan yang mewakili dirinya sendiri dan Uthayakumar dan Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria dan Azizan Md Arshad yang mewakili Najib dan lima defendan yang lain.

Azizan memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan permohonan itu dengan kos RM5,000.

Ditanya mengenai asas dalam membenarkan permohonan itu, Azizan berkata tiada isu yang perlu dibicarakan dalam saman yang dikemukakan oleh dua bekas tahanan ISA tersebut.

Azizan berkata, beliau telah mengemukakan hujah bahawa tuntutan dan ganti rugi yang dipohon oleh plaintif dalam saman tersebut tidak boleh dikekalkan memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini dalam permohonan "habeas corpus" kedua-duanya telah memutuskan bahawa penahanan kedua-duanya adalah sah.

Manoharan berkata beliau akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Dalam permohonan untuk membatalan saman tersebut, Najib dan lima yang lain berkata saman yang dikemukakan oleh Manoharan dan Uthayakumar pada 9 Dis tahun lalu adalah remeh dan menyusahkan serta menyalah guna proses mahkamah.

Mereka berkata saman tersebut berhubung kait secara langsung denga satu kes yang telah diselesai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam saman mereka, Manoharan dan Uthayakumar memohon ganti rugi sebanyak RM100 juta dan faedah tahunan 8 peratus atas alasan mereka telah ditahan secara salah selama 514 hari dari 13 Dis 2007 hingga 9 Mei 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain