suria

KM Sabah Punyai Alasan Kukuh Lantik Dr Yee Sebagai Timbalan

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)berkata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mempunyai alasan yang kukuh dalam melantik Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru di bawah kuota kaum Cina.

Timbalan Presidennya, Datuk Elron Angin berkata, pelantikan Dr Yee bukan isu bagi mereka sebagai komponen parti Barisan Nasional (BN), walaupun pelantikan itu bermakna dua daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri dibolot oleh Parti Bersatu Sabah (PBS).

Tiga jawatan timbalan ketua menteri itu dilantik bagi mewakili tiga komuniti terbesar di Sabah yang terdiri daripada Kadazandusun Murut, Bumiputera Muslim dan kaum Cina.

Dr Yee merupakan timbalan presiden PBS, manakala Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri di bawah kuota untuk komuniti Kadazan Murut.

"Ketua Menteri memang mempunyai tujuan yang baik dalam melantik Dr Yee sebagai timbalannya bagi mewakili kuota Cina. Bagi kami itu tiada apa masalah, kami tidak kisah siapa yang dilantik, tapi yang penting orang itu mestilah seseorang yang mampu mengetuai komuniti kaum Cina.

"Dr Yee sudah berada dalam kabinet negeri sejak sekian lama, jadi saya rasa soal kemampuannya menjalankan tugas tidak timbul, saya rasa itu sebabnya mengapa Ketua Menteri melantiknya," katanya.

Beliau seterusnya berkata, suatu ketika dahulu PBRS juga pernah diberi tanggungjawab menyandang jawatan timbalan ketua menteri, jadi parti itu sudah pasti faham dengan rasa tidak senang hati pihak-pihak tertentu ekoran pelantikan Dr Yee itu.

Elron seterusnya merujuk kepada ucapan presiden parti PBRS Tan Sri Joseph Kurup di Keningau minggu lepas, yang mengakui bahawa senario politik sudah berubah dan parti komponen Sabah itu memang merasakan bahawa mereka diketepikan apabila kebanyakkan jawatan penting yang dimiliki parti sebelum ini diberikan kepada parti-parti komponen yang lain.

"Presiden parti berkata PBRS memainkan peranan penting kepada BN untuk menjadi pentadbir Sabah pada tahun 1995, dan semasa BN menjadi pakatan kukuh dalam negeri, parti itu pula mengalami banyak kerugian

"Menurut Presiden jawatan menteri, senator, setiausaha politik, anggota lembaga... semua ini diberikan kepada lain-lain parti komponen dalam BN, dan dalam perkara ini parti sudah tentu tidak dapat mengenepikan rasa kecewa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain