suria

Kes Kakak Sheila Majid Fail Tuntutan Fasakh Ditunda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis diberitahu bahawa anak kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud terlebih dahulu memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik dengan isterinya atas alasan tidak wujud lagi persefahaman pada Februari tahun ini.

Peguam Syarie, Saadiah Din yang mewakili Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib, 48, memberitahu Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad bahawa anak guamnya memfailkan permohonan tersebut pada 14 Februari lalu.

Isteri kepada Mahmud Abu Bekir, Datin Seri Shahnaz A. Majid yang juga kakak kepada penyanyi Datuk Sheila Majid pula memfailkan permohonan tersebut terhadap ahli perniagaan, Mahmud Abu Bekir pada 22 Februari lalu.

Ekoran pertindihan permohonan cerai tersebut daripada kedua-dua pihak, peguam Syarie, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Shahnaz dalam prosiding Khamis mencadangkan kepada mahkamah supaya menggabungkan kedua-dua permohonan tersebut dengan terma-terma tuntutan mutaah dan fasakh yang digariskan oleh anak guamnya.

Bagaimanapun, Saadiah membantah cadangan tersebut kerana berasakan pihak Mahmud perlu membuat permohonan berasingan bagi menggabungkan kedua-dua permohonan tersebut dengan alasan perceraian adalah atas alasan tidak lagi wujud persefahaman.

Ini ditentang oleh Mohd Rafie kerana berasakan permohonan cerai anak guamnya (Shahnaz) adalah berdasarkan sebab-sebabnya dan bukan seperti yang dinyatakan oleh pihak defendan iaitu tidak wujud lagi persefahaman.

Pada 9 Mac lalu, Shahnaz memfailkan permohonan tersebut terhadap ahli perniagaan, Mahmud Abu Bekir pada 22 Februari lalu dan kes disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Pasangan tersebut berkahwin pada 9 Januari 1992 di sini dengan berwalikan bapa pengantin perempuan dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya yang berusia 17 tahun.

Shahnaz juga memfailkan permohonan itu atas alasan Mahmud tidak memberikan nafkah batin sejak tahun 2001 menyebabkan beliau digantung tidak bertali sehingga menyusahkan kehidupannya.

Selain itu, beliau juga mendakwa defendan telah menunjukkan perubahan bermula tahun 1994 dan 1999 apabila bertindak agresif seperti menumbuk kepala, menendang rusuk dan suka memaki hamun plaintif dengan menggunakan kata-kata kesat.

Shahnaz juga mendakwa, suaminya amat jarang pulang ke rumah sejak tahun 1999, tidak boleh ditegur, sukar dihubungi, gemar bersosial dengan perempuan bukan muhrim serta tidak melayan diri beliau dengan adil selepas suaminya itu bernikah dengan seorang wanita Rusia yang berstatus janda beranak tiga.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Saadiah memberitahu, anak guamnya memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

"Permohonan perceraian itu dibuat berdasarkan sebab mereka telah hidup berasingan selama 11 tahun ekoran tidak wujud lagi persefahaman sesama sendiri.

"Anak guam bersetuju untuk melafazkan talak di mahkamah. Jadi anak guam saya memfailkan permohonan cerai terlebih dahulu," kata Saadiah yang diarahkan oleh anak guamnya untuk menyelesaikan semua isu berkaitan permohonan cerai itu secara baik.

Saadiah memberitahu, Mahmud Abu Bekir ingin menyelesaikan perceraian dengan isteri, Shahnaz secara baik di luar mahkamah.

Sementara itu, Mohd Rafie yang ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya (Shahnaz) bersedia untuk bercerai.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan kes tersebut pada 11 April depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain